Tuesday, June 28, 2011

Mengenal Kehidupan dari Kejauhan

Dari kejauhan
Lahirnya lakaran kehidupan
Hakikat hayat diri yang ditempa perubahan

Biar apa pun halangan
Itu yang aku pasakkan
Biarkan ketabahan mengalir mapan
Biarkan kekuatan tidak berkesudahan

Dari kejauhan
Ratapan hati yang tak pernah melupakan
Hakikat diri yang dalam penghayatan

Biar apa jua mereka katakan
Itu yang aku ingin buktikan
Biarkan berdiri tak pernah kejatuhan
Walau kadangkala diulit kesusahan

Wahai manusia - manusia yang aku tinggalkan
Kalian amat menyenangkan
Kalian amat diperlukan
Kalian terlalu jauh dari dakapan

Wahai manusia - manusia yang aku tinggalkan
Walau kalian penuh cacian
Walau kalian merasakan aku dalam kesilapan
Biar aku tentukan langkah kehidupan
Hanya doa kalian yang aku harapkan

Dari kejauhan
Aku memohon perlindungan
Dari Tuhan yang tak pernah jauh dari ingatan
Berilah aku kekuatan
Dalam mengenal kehidupan dari kejauhan


Nur Izzati binti Khairuddin
28 Jun 2011
Bkt Sekilau

Thursday, June 2, 2011

Catatan Labu


Bismillah. Allah itu tidak kejam. Allah itu maha penyanyang, maha pemurah, lagi maha mengasihani. Ujian yang di diletakkan Allah ke atas bahu ini tanda sayangnya Dia pada kita. Ujian itu penguat hati. Ujian itu untuk meningkatkan iman.

Musafir aku kerana tuntutan ilmu. Semoga Allah melindungiku dengan rahmatNya, menghadiahkan kekuatan buat aku, menempuh liku - liku, seorang diri tanpa insan - insan yang aku rindu.

Hari Ketiga
21 Mei 2011

Rindunya aku kepada orang tuaku
Hati menadah resah, suka dan keliru
Menagisi hari ini, kehidupan aku yang membawa diri
Menatap hari semalam, suka duka cinta yang berlalu
Hari ini aku di sini,
seorang diri, tanpa kedua buah hati
Hati ini tidak sepi,
ditemani senior yang menasihati

Mana bisa rasa ini tidak gundah !
Keseorangan di bumi bertuah
Menadah air mata yang tak pernah sudah

Ya Allah, bantulah aku
Yang tidak pernah berhenti menadah meminta !

Ya Allah, kuatkanlah aku
Tingkatkanlah keyakinanku yang rapuh !


Hari keempat
22 Mei 2011, petang

Guruh berdentum - dentum. Kuat. Bibir serta merta tak henti menyebut nama Allah. 'Petit' masih lagi di katil. Rajin dia study.

"Huh? Macam mana nak call mak ni?"

Tudung dicapai, menyelak tirai kuning di pintu bilik Masyit. Guruh berdentum lagi. Kali ini lebih kuat, disusuli kilat.

Bumi Labu basah. Awan menangis, sama seperti kondisi hati. Semalam di - 'brain wash' oleh Kakak R. Alhamdulillah, hati sedang mencuba untuk menerima. :]

"Keliru itu biasa pada peringkat permulaan. Tapi awak kena kuat. Jangan terlalu fikir perkara yang lepas. Awak terus saja pandang ke depan. Kalau awak boleh survive kat sini, nanti awak diletakkan di mana pun, insyaallah awak boleh hidup. Tak lama, setahun setengah je. Buktikan awak mampu. Peduli cakap orang lain. Ini masa depan awak." - Terima kasih Kakak R ! :')


Hari kelima
23 Mei 2011

Orientasi bermula.
Encik Samat memulakan sesi. Kepentingan 'kesatuan' dan hidup 'berjemaah' menjadi bicara Encik Samat pagi itu. Rambut yang kelihatannya sudah memutih di kepala, jelas menggambarkan begitu banyak pengalaman yang telah dilalui beliau, terlebih dahulu menelan asam garam hidup, menghadapi hari - hari sebagai seorang pendidik.

Sempat saya berdiri berkongsi idea, alhamdulillah. :)



Hari keenam
24 Mei 2011

Pelajar junior SMAP buat persembahan pagi ni. Semua orang semangat nak bercuti ! Lagu 'Balik Kampung' dendangan Sudriman menjadi siulan pada pagi itu. Semua nyanyi dengan penuh semangat. 'Balik Kampung' versi SMAP. :)

Menghitung hari ; 4 hari saja lagi.


Hari ketujuh
24 Mei 2011

Dalam misi menghabiskan tugasan mendapatkan butir - butir diri serta yang paling mahal - signature para senior. :) Senior Asy buat saya menangis ! Tolong lah senior. Jangan tanya pasal tu. Itu kisah hidup yang cukup sedih untuk dibicarakan. =='


Hari kelapan
25 Mei 2011

Bersiap sedia utk malam bakat.
Sempat menadah nasihat dan berkongsi cerita dgn Senior Asr. "Kau dah besar, umur 18, ni masanya kau duduk jauh dengan family ! Hal kecik je. Positif lah. Ini cabaran, jangan kau anggap bebanan. Duduk kat sini kau kena kuat. Tak de hal punya laah. Jangan lemah semangat! Peduli apa orang nak kata. Kau pekakkan telinga je. Okay?" Terima kasih sebab bagi semangat, senior ! :)


Hari kesembilan
26 Mei 2011

Majlis penutup orientasi.

Sungguh sangat penat ! Tapi puas. (walaupun ada orang yang tak puas hati dgn saya. huhu)
'Maaf lah. Aku datang sini bukan utk cari masalah dgn org. Kalau kau rasa kau ada masalah dengan aku, cerita saja. Aku boleh perbaiki. Kalau kau diam terus, dalam masa yang sama, kau layan tak leyan je aku ni, aku pun tak faham apa masalah kau tak puas hati dengan aku.' ==

Berkemas. Balik kampung ! Lagi dua minggu, datang semula ! Dengan semangat baru, insyaallah ! :)


-- Kehidupan ini dinamik. Bukannya statik. Semoga kehidupan yang dilalui ini, walau dirasakan payah, walau dirasakan susah, berliku, dan terlalu banyak cabaran serta ujiannya, biarlah kita masih pada landasan yang satu, keredhaan Allah yang dituju. --

p/s : semoga Allah terus mengalirkan kekuatan buat hati ini.

Friday, March 25, 2011

Tautan Hati : Alhamdulillah~

Salam alaik. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Semoga kita semua masih merasai kemanisan berjalan di atas landasan iman dan takwa. Semoga hati-hati kita masih teguh di jalan islam, satu-satunya agama yang paling diredhai Allah.

Alhamdulillah. Syukur kerana masih punya kekuatan untuk mencoretkan sesuatu.

Kembali ingin mengenang tarikh 23 Mac. Tarikh yang indah, dipenuhi dengan tawa dan tangis, juga perkara yang tidak disangka-sangka. Syukur kerana berpeluang untuk merasainya.

23 Mac, 8.30 pagi, Surau SMKAP - Majlis Tautan Hati Serikandi

Terima kasih tidak terhingga buat sahabat2 yang mencadangkan majlis tautan hati serikandi. Majlis yang berlangsung sederhana namun cukup bermakna. Dimulakan dengan solat dhuha, kemudian disusuli solat hajat, bacaan yasin dan ma'thurat. Bertujuan agar hati - hati yang resah dan gelisah tenang dengan alunan ayat-ayat suci Allah di bibir. Tenang tatkala melaksanakan solat hajat. Solat hajat terakhir sebelum keputusan SPM dimumkan. Hajat yang dibisikkan pada Allah bukan sekadar hajat untuk memohon keputusan terbaik, namun juga berhajat agar keputusan yang diterima itu ialah keputusan yang dirahmati oleh Allah, mudah-mudahan. Juga memohon dengan bersungguh-sungguh kpd Allah, agar ditenangkan hati dan dicampakkan rasa redha di dalam hati untuk menerima segala ketentuannya. Hati meruntun syahdu saat mengingat kembali hari-hari yang biasa dilalui sepanjang kehidupan. Dalam hati benar-benar memohon agar kesusahan dan keperitan yang dilalui sepanjang hidup, ujian-ujian yang tidak pernah sunyi itu, walaupun tidak dibayar dengan keputusan yang paling diinginkan, cukuplah dan memadailah dengan Allah meredhaiNya. Sungguh, mardhatillah itu mahal !Allah. Allah. Allah. Kesedihan tak dapat dibendung, saat mengalunkan ayat Allah itu teringatkan dosa-dosa semalam yang biasa dilalui, dosa-dosa yang mungkin tanpa disedari, yang mungkin mengundang kemurkaan dan ketidak-redhaan daripada Allah. Masyaallah, takut! Takut andai keredhaan itu tidak sampai. Sungguh rugi manusia yang hidupnya indah kerana nikmat dunia, sementara keredhaan Allah itu jauh darinya. Allah.

Saat ini benar-benar terasa kekuatan persahabatan. MasyaAllah, sungguh hebat. Sahabat-sahabat saya hebat. Mereka mengingatkan saya tentang Allah itu maha adil, mereka mengingatkan saya tentang perlunya keredhaan di hati apabila menerima sesuatu yang telah ditentukan.

Teringat Fathiah memeluk sambil memujuk-mujuk saya, "Jangan risau. Walau apa pun yang terjadi, kita tetap sahabat. Sahabat selamanya" Allah~ Tersentuh. :')


23 Mac, 11.15 pagi, Dewan Azzahra

Ketakutan, kegelisahan yang merajai selama ini bakal termusnah. Saya ingin redha dengan apa sekalipun. Walau keyakinan kadangkala menggugah, namun hati sentiasa mengharap-harap. Siapa yang tidak berharap kan?

Keputusan diterima. Dan sungguh saya tak tahu nak rasa apa pada waktu tu. Di luar jangkaan. Hakikatnya air mata mana pernah mengkhianati saya. Dari dulu lagi. Berkongsi tawa dan sedih. Senyuman dan kemuraman. Semuanya tergabung dalam satu hari. Indah. Walau ada luka yang mengalirkan darah. :)

Terima kasih Farhana dan sisters-nya yang datang peluk saya. Buat saya makin menangis. Huhu. <3

Terima kasih jugak kepada wahida yang pesan, "Allhamdulillah anti bertuah sbb Allah bagi ujian. Ana tau ujian utk anti dari dulu lagi. Allah nak tingkatkan iman anti. Dah, jangan nangis. Nanti nangis masa bawak moto, tak nampak jalan pulak." Sayangnya dekat anda. ;)

23 Mac, 1.58 ptg- Baru sampai Rumah

Ada sms,

"Salam, Nur Izzati. Congratulations on your SPM result released today. Pak Ngah happy to note that you passed all your papers. You have so many course opportunities to choose from. Print out the instruction issued by UPU, analyse and strategise properly what is the course that you are interested in and what is the best way to secure it. You may seek Mak Ngah's advice on the strategy as she has done it succesfullu for Nur Amalina last year. WHATEVER your result please be satisfied with it, think and behave rationally to move forward. SPM is just the beginning of a long journey ahead. Let's be realistic, rational, thanksful to Allah and move ahead with greater determination and confidence. Succes is just a matter of time. Pak Ngah will reward you for your result. The time will come. Thanks. Salam."
[p/s :Nur Amalina tu cousin saya.]

Siapa tak kenal pak ngah. Tulisannya sms nya selalu panjang berjela. Rasa macam beliau bercakap di depan mata. :) Terima kasih buat ayah2 dan ibu2 saudara, yang sangat mengambil berat. Dari saya kecil, sehinggalah sekarang saya sudah belasan tahun, sentiasa melaungkan semangat dan kata2 perangsang. Terima kasih banyak2. Seringkali terinspirasi dengan sifat kalian. Moga Allah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kita.

23 Mac, 4.12 ptg-Rumah,

Sms dari Abg Lat,

"Well done and congratulation. Don't be too hard on yourself. The result isn't bad. There is a lot of varsities willing to offer u a spot for that kind of result, believe me. U'll sure get a special gift from me soon, just wait. Don't forget life & successfullaren't destination, they are journey. Take it as it comes & be grateful of it. Good job Izzati."

*Abg mal wish dekat chatbox fb saja. Anda mmg abg yang cool! [dia tak pandai buat ayat cantik2 sebenarnya. haha.]

Air mata tidak tertahan-tahan. Sungguh, seakan tidak dapat menerima hakikat. Namun saya bertuah. Allah hantarkan saya manusia-manusia yang menguatkan di saat saya tergugat dengan kekecewaan dan kesedihan. Allah. Sungguh Kau maha adil terhadap hamba-hambaMu.

Jam demi jam yang dilalui selepas itu memang perit. Sedih. Tapi syukur, semua orang seakan mahu hentikan tangisan saya. Teringat lagi pesan pak ngah, "frustration is the enemy of the past that should not be entertained..."

Tiada kata lagi yang mampu melambangkan perasaan hati. Terasa bertuah. Allah masih sayangkan saya. Diberinya sesuatu yang menyakitkan, namun di sebalik kesakitan itu diselitkan dengan kemanisan. MasyaAllah. Malunya dengan Allah. Manusia tak henti-henti lakukan dosa. Manusia masih tak tahu nak ucapkan syukur. Namun begitu, Allah masih beri yang terbaik untuk hambaNya.

Akhir kata,

Anugerah yang terindah apabila saya dikurniakan keluarga yang menyokong, sahabat-sahabat yang menguatkan dan manusia sekeliling yang cukup menenangkan. Walau ada suara-suara sumbang, kekuatan sokongan kalian berjaya membumikan suara-suara itu. Syukur ya Allah. Terima kasih semua. :')


Semoga diri ini tergolong dalam golongan hamba-hamba yang bersyukur. Amin. :)

Sunday, March 20, 2011

Cinta Yang Hakiki

Cinta yang hakiki
Andai benar itu yang kau cari
Biarlah hati ini setia mengabdi
Kepada Tuhan pencipta diri
Kerana hanya itu yang abadi

Cinta yang hakiki
Benar itu yang kau nanti
Sakit pedih onak diharungi
Menadah dugaan melawan benteng keimanan diri
Yang telah sekian lama teguh berdiri

Ah, cinta yang hakiki?
Benarkah itu yang kau cari?
Katamu, "aku gelisah!"
Katamu, "aku lelah!"
Ah, apa ini cinta hakiki?

Cinta yang hakiki
Benar itu yang membuat kau untuk mencari
Tidak pernah tersasar dari jeladeri hati

Cinta yang hakiki
Tabahlah hati jalani hidup ini
Kuatlah kaki memijak duri
Oh cinta yang hakiki
Cinta Tuhanku kekal abadi!


Nur Izzati Khairuddin
21/3/2011
00.07 am
:)


Salam buat seluruh penghuni maya. Semoga masih 'hidup' untuk terus mengalirkan tinta bermakna, buat membangunkan jiwa - jiwa yang lena. Maha Suci Allah yang masih memberikan kekuatan untuk mencurah bait - bait indah, semoga dirahmatiNya.

Tiada apa-apa yang mahu diungkap. Hanya meninggalkan kalian dengan puisi tidak seberapa. Mahu lebih asah skill menulis puisi yang terasa sedikit tumpul. Moga Allah mudahkan, insyaallah. :)

Biarlah cinta itu kekal buat Allah, rabb seluruh alam, yang menciptakan dan menjadikan makhluk-makhluk dalam pelbagai rupa dan bentuk. Maka sesungguhnya tiada yang layak untuk dicintai dengan sebenar-benar cinta. Semoga cinta kepada Allah itu melebihi segala-galanya.










Monday, March 14, 2011

Kembali Untuk Menyeri

Kembali untuk menyeri
Setelah dua purnama menyepi
Diamnya aku bukan sebarang pergi
Sekadar pergi untuk mencari
Mencari untuk memberi
Bukan untuk menyendiri dan menyepi

Kembali untuk menyeri
Setelah dua purnama menyepi
Rindunya aku pada bicara hati
Bukan sekadar suntikan buat diri
Malah untuk yang cinta pada Ilahi

Kembali untuk menyeri
Setelah dua purnama menyepi
Beribu onak aku tempuhi
Menguji keimanan yang selama ini terabdi
Menggugat keampuhan prinsip diri

Kembali untuk menyeri
Setelah dua purnama menyepi
Buat sahabat-sahabat yang merindui
Terima kasih kerana mengingatkan diri ini
Kalian sumber inspirasi
Semoga berkekalan ke syurga Ilahi.


Nur Izzati Khairuddin,
15/3/2011
11:11 PM
:)



Salam buat seluruh penghuni maya. Semoga sentiasa dalam naungan Allah S.WT. Teringatkan entry tahun lepas, tajuknya "Setelah Lima Purnama". Entry ini pula mungkin sesuai diletakkan tajuknya, "Setelah Dua Purnama" kerana telah dua bulan tidak mencoretkan apa-apa di blog. Hee. Maaf kepada yang selalu bertanya. Sengaja menyepi daripada menari - narikan jemari melakarkan sesuatu di sini. Impian di hati mahu kembali dengan kekuatan yang lebih ketika menulis. Namun rasanya, semakin dibiar lama, semakin tumpul bisa penulisan. Maka, biarlah kekuatan yang sebenar itu belum tiba, niat di hati, teruskanlah sahaja apa yang termampu.

Semoga ini permulaan kepada sebuah perjalanan yang lebih baik. Buat sahabat2 yang merindui Hakikat Hayat, janji saya, saya akan terus menulis. Menulis dan menulis. Terima kasih kerana mengingatkan. Sayang kalian! :)

Ya Allah, aku memohon rahmat dan redhaMu. Kekalkanlah kesetiaan aku untuk terus berdiri di jalan yang Kau redhai.

Saturday, January 1, 2011

Nukilan Akhir 2010 :)


Maka dengan apa sekalipun caranya, saya terasa ampuh untuk menepis semuanya. Yang seringkali datang bertimpa-timpa. Dugaan itu datangnya tidak pernah mengenal manusia. Dugaan itu datangnya tidak pernah tahu apa kondisi manusia. Cuma yang pastinya Allah berikan ujian itu semampu yang boleh untuk ditanggung oleh manusia. Siapa kata saya tidak pernah merasakan ketidaksanggupan untuk menadah semua ini? Siapa kata saya tidak pernah sakit dengan semua ini? Kesakitan itulah yang mengajar saya. Setelah melalui segala kesakitan, maka saya tahu apa itu KEHIDUPAN. Kalian tahu apa itu KEHIDUPAN? Usah mengaku kalian benar-benar tahu apa itu KEHIDUPAN andaikata kalian belum melalui kesakitan sepanjang kalian bernafas. Saya menanti dan terus menanti. Menanti dengan sabar. Menanti apa yang ingin Allah tunjukkan buat saya. Dalam sesakan nafas, lafaz di bibir tidak pernah berhenti. Sabar, kuat, tabah. Semua itu lafaz yang tidak pernah terhenti dari bibir. Perjalanan ini panjang. Dan tangisan tidak pernah mengkhianati saya. Tangisan ternyata sahabat akrab yang tidak pernah pergi meninggalkan saya. Air mata seringkali buat saya rasa kuat. Air mata juga seringkali buat saya rasa puas. Walau kadangkala saya terpaksa mengalirkannya di hadapan khalayak. Menjadi pelakon air mata bukanlah sesuatu yang memalukan lagi bagi saya, walau kadangkala terasa tidak patut untuk melakukannya.


2010. Angka yang bermakna buat saya. Angka yang perit, juga angka yang membawa kemanisan. Jika disebut 2010, saya akan kata, "2010 itu SAKIT", "2010 itu UJIAN", "2010 itu PERIT", "2010 itu PENGALAMAN". Biar apa pun perkataannya, yang pasti saya tidak akan pernah lupa intipati 2010. Tahun ini tahun saya merasai serba macam perkara. Ini tahun bermakna. Tahun di mana air mata tidak pernah mengkhianati saya. Tahun di mana saya belajar untuk menjadi manusia kuat dan tabah. Tahun di mana saya beroleh pengalaman hebat. Ya, sangat hebat! 2010. Mana mungkin saya lupa. Mengajar saya KEHIDUPAN setelah 17 tahun bernafas di muka bumi ini.


Buat insan-insan yang sentiasa di sisi saat saya berasa tempang, terima kasih banyak-banyak kerana kalianlah perantaraan yang memberikan kekuatan tatkala diri ini terasa lemah. Kalian benar-benar lekat dalam hati saya. Semoga redha Allah sentiasa bersama kalian.

Juga buat sahabat handai yang sentiasa memberi tunjuk ajar, sahabat yang sama-sama bekerja dalam organisasi, saya menghargai segala pertolongan yang telah kalian curahkan. Semoga sifat kalian ini diteruskan.


Buat sahabat-sahabat STB, terima kasih kerana masih mengingati saya hingga ke hari ini.

Sahabat-sahabat SMKAP, kalian suka buat saya ketawa. Kalian suka buat saya hilang gundah. Kalian benar-benar buat saya rasa indah apabila bersama. Terima kasih banyak-banyak! Semoga sentiasa dalam lindungan rahmat Allah.


Seterusnya, sesiapa sahaja yang mengenali, terima kasih kerana sudi menjalin hubungan persahabatan dengan saya. Semoga ikatan ini diredhaiNya.


Akhir kata, semoga 2010 ini memberi pengalaman berharga, mencungkil kekuatan, menerapkan ketabahan, juga menanam semangat yang jitu buat setiap daripada kita untuk terus menempuh KEHIDUPAN di lain tahun.


Biar siapa pun kita, biar di mana pun kita, biar dari mana asal kita, ayuhlah terus tetap di jalan yang benar. Jalan menuju kasih abadi, kasih Ilahi. Semoga segala yang dilakukan itu sentiasa mendapat keredhaannya. Sesungguhnya, mardhatillah itu tidak dapat dibeli dek amal yang serba biasa.


Seorang hamba hina,

Nur Izzati Khairuddin,

ex-SMKAPK, '06-'10

:)


Tuesday, November 9, 2010

Membilang waktu.

Malam ini rasa ingin kembali ke medan penulisan blog yang sudah lama tidak saya jadikannya sebagai keutamaan. Hanya seringkas cuma. Sengaja blog dibiarkan sepi, kerana sedang membilang waktu yang kian kecil jumlahnya. Oh. SPM. Sesiapa saja yang bakal berhadapan dengannya merasai apa yang dirasa oleh saya. Hari ini Ustazah Aizat 'merehatkan otak' kami dengan tazkirah perihal bencana yang menimpa. Buatkan semua sedar, apa yang sedang dikejar oleh kami ini, jika tidak ditujukan matlamatnya pada perkara yang sepatutnya, maka rugilah, kerana sesungguhnya syurga itu yang harus dikejar oleh kita semua. Oleh itu, biar apa pun yang dikejar, hatta SPM ini, harus diletakkan matlamat kejayaan itu untuk perkara yang sepatutnya, iaitu untuk redha Allah.


Semoga kita dipermudahkan oleh Allah untuk menempuh waktu sesingkat ini. Menghabiskan sisa-sisa study yang masih perlu diteruskan. Semoga Allah kurniakan kekuatan dan kesihatan yang baik, insyaAllah. :)

Noktah buat masa ini. InsyaAllah, kembali ke lapangan penulisan Disember ini, untuk terus 'menakluk' ruang maya dengan perkongsian yang lebih bermanfaat mudah - mudahan.

Buat semua calon spm bumi wakaf SMKAP, bittaufiq wannajah! :)