Monday, January 9, 2012

Kempen Jom Cover Aurat UiTM Kuantan : Biar Siapa Kita, Perintah Allah Itu yang Utama

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, dengan keizinan dariNya, maka Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menghadiahkan kesempatan untuk saya memulakan lakaran perkongsian. Perkongsian yang dalam kesederhanaan, saya dengan kerendahan hati, memohon tunjuk ajar mahupun teguran kalian jika ada yang tersalah dalam perkongsian ini.

Ini kisah yang mungkin biasa didengari. Tetapi ini kisah saya, yang ditakdirkan untuk saya mengalaminya. Hanya kisah enteng, namun cukup beerti jika diteliti dengan mata hati.

Saya punya seorang teman. Saya tahu dia kepingin untuk berubah. Pemakaian hijabnya kadangkala ada dan kadangkala dibiarkan saja rambutnya yang cantik untuk diperlihatkan. Malah katanya, dia lebih suka pakai tudung jika ke kelas, tapi tudung bukanlah pilihannya apabila berada di luar kelas mahupun kuliah. Saya tahu dia tanggungjawab saya, yang Allah takdirkan untuk saya, agar saya bisa memberikan tunjuk ajar walau tidak banyak, namun setidaknya secebis ingatan buat dirinya. Ya, saya sahut perintah Allah itu. Namun, untuk merubah dirinya bukanlah di tangan saya. Tugas saya hanya menyampaikan dan berkongsi, namun keinginan untuk berubah itu seharusnya bakal tiba jika Allah izinkan, dan jika Allah takdirkan dia benar-benar ingin berubah, menjadi seorang muslimah yang benar-benar berada di landasan syariat menutup aurat, maka mungkin saya antara orang yang gembira. Namun itu semua kuasaNya. Saya hanya mempu berusaha semampu saya, selebihnya semoga Allah memberikan keizinan.

Pada suatu hari, ketika berjalan- jalan dengan teman saya ini, dia memulakan perbualan, “Aku tak nampak kau macam budak Law, kau nampak macam budak medic!” Mulut saya ternganga, “Oh, tolonglah! Jadi seorang doctor adalah sesuatu yang mustahil bagi aku, kerana aku tak pernah berminat, dan buktinya sekarang aku bukan pelajar medic”, kata saya sambil ketawa. “Tak, sungguh! Kau tak nampak macam budak Law. Ya lahh, sikit sangat orang kat sini pakai macam kau. Kau dah nampak macam budak medic belajar dekat Mesir.” Sekali lagi saya ketawa, “Memang aku pernah bercita-cita belajar di timur tengah, masalahnya sekarang ni ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia pulak aku sampai.” Tawa kami berderai.

Dari perbualan yang berlaku antara kami, pemikiran saya terus berjalan, memikirkan, meneroka maknanya, dan membuat kesimpulan.

Saya katakan pada diri, saya ialah seorang Muslimah. Agama dan cara hidup saya ialah Islam, maka tuhan saya ialah Allah. Akan lahirkah saya kalau bukan Allah yang menjadikan saya dari setitik air mani yang hina itu? Akan lahirkah saya andai saya bukanlah antara sperma yang paling tabah menyusuri kesukaran untuk sampai ke garisan penamat untuk bertemu dengan ovum yang bakal mensenyawakan nukleus sperma ini menjadi seketul darah? Akan lahirkah saya di dunia ini andai seketul darah ini tidak membentuk seketul daging, lalu terbentuk pula tulang yang dibaluti daging, dan akhirnya membentuk seorang bayi? Akan lahirkah saya andaikata Allah takdirkan ibu saya tidak benar-benar kuat untuk mengerah tenaganya melahirkan saya. Tidak! Saya tidak akan ada sekarang menulis di blog ini andai bukan dengan izin Allah. Masyaallah! Besarnya Allah, siapa lah saya kalau bukan dengan kebesaran Allah. Maka dengan kelahiran saya di dunia ini, dan pemberian Allah iaitu tubuh badan yang lengkap, tiada cacat celanya, serta pelbagai nikmat lagi yang saya perolehi dariNya, layakkah saya untuk menderhaka kepadaNya? Saya adalah seorang hamba yang bongkak dan tak sedar diuntung andai saya tidak bersyukur dengan apa yang Allah telah kurniakan kepada saya ini, nauzubillah min zaalik.

Maka bagaimana saya boleh menunjukkan rasa syukur itu kepada Allah yang sungguh besar jasanya kepada saya itu? Tidak lain dan tidak bukan, tentulah dengan cara saya mentaati perintah Allah, dan meninggalkan laranganNya.

Allah perintah kepada saya, tutup aurat, maka saya perlu tutup aurat. Allah perintahkan kepada saya untuk melabuhkan tudung hingga ke dada, maka saya perlu melabuhkan tudung saya hingga ke dada. Allah perintah kepada saya agar menjaga tingkah laku dan akhlak saya sebagi seorang wanita muslimah, maka saya perlu patuhinya. Itu signifikannya. Saya tutup aurat kerana saya ialah hamba Allah yang mana saya wajib mematuhi segala suruhannya untuk menunjukkan bahawa saya seorang hamba yang bersyukur.

Allah melarang saya membuka aurat di depan lelaki ajnabi, maka saya tidak membuka aurat di depan lelaki ajnabi. Allah melarang saya berlebihan-lebihan dalam berpakaian semasa di luar rumah, maka saya perlu meninggalkannya. Juga lain-lain perkara yang Allah larang saya daripada melakukannya, maka WAJIB bagi saya meninggalkan larangan - larang tersebut.

Oleh itu, siapa juga saya, di mana juga saya, saya tetap seorang WANITA yang beragama ISLAM. Maka tidak seharusnya timbul bahawa jika saya memakai menutup aurat begini, maka saya selayaknya digolongkan dalam golongan pelajar sekian sekian, dan bukan dalam golongan pelajar yang sekian sekian. Pakaian menutup aurat, bertudung labuh melepasi dada, berbaju labuh menutupi punggung, berseluar longgar, dan berstokin, adakah itu pakaian orang-orang tertentu sahaja? Adakah yang selayak memakai pakaian begini ialah golongan pelajar yang menuntut jurusan agama, atau pelajar yang menuntut jurusan perubatan di Timur Tengah sahaja? Tidak! Adakah golongan pelajar yang menuntut jurusan Undang-undang, Kejururawatan, Ekonomi, dan sebagainya tidak layak untuk memakai pakaian sebegini. Tidak! Selagi saya dan anda berdiri di atas muka bumi ini atas nama Islam, maka saya dan anda WAJIB berpakaian begini dan menutup aurat sebagaimana yang disyariatkan.

Wahai sahabatku, sedarlah kamu, Allah tuhanku juga tuhanmu. Taatilah perintah Dia selagi hayatku juga hayatmu. Semoga Dia melimpahkan rahmatNya buat aku dan juga buat kamu. :)

Biar siapa jua kita, perintah Allah itu yang utama.

Semoga bertemu di syurga :)

Oleh : Nur Izzati binti Khairuddin

Saturday, September 10, 2011

Membenci kejahilan dan membenci manusia yang dalam kejahilan ; dua perkara yang berbeza.

Bismillah (dengan nama Allah) dimulakan segala perkara. Semoga hayat yang dikandung badan masih setia berusaha untuk merenggut kasih sayang Ilahi. :)

Hari ini masih lagi sini. Cuti hari minggu memang sangat - sangat dinantikan. Tak perlu kelam kabut mengejar bas untuk ke kelas , mahupun berfikir bagaimana presentation yang bakal dilalui, atau sebagainya. Minggu ini minggu paling 'dahsyat' saya kira, bagi pelajar asasi undang - undang uitm kuantan. Minggu terakhir sebelum 'study week', dan seterusnya menanti hadirnya exam, sememangnya segala yang belum selesai harus diselesaikan minggu ini juga. CSC project, test itu dan ini, presentation itu dan ini, forum, dan macam - macam lagi. Malah hari ini (sabtu) banyak kelas yang berjalan bagi subjek BEL 313 (critical thinking) kerana belum selesai berforum. Selamat berforum! Jangan debate sudahh. Forum dan debate tak sama.

*adat lahh budak law, orang suruh cakap biasa - biasa pun selalunya akan jadi debate. suka sangat refute dan di-refute. haha. :D *

Hakikatnya berada di tempat baru sememangnya mengajar sesiapa saja untuk menjadi lebih matang. Semakin dewasa, semakin mengenal ragam manusia, dan semakin mengenal apa nilai yang harus ada dalam diri sendiri sebagai hamba Allah (bagi yang mahu berfikir. moga kita tergolong dalam golongan yang mahu berfikir itu, aminn)

Bagi saya, menyaksikan kejahilan agama sana sini bukanlah satu kegemaran. Namun itu yang terhidang di hadapan mata, mahu atau tidak, tetap perlu ditatap juga. Tambahan lagi andai kejahilan itu hanya sejengkal dari kita, mungkin dalam rumah yang kita tinggal, atau mungkin bilik yang kita kongsi bersama rakan - rakan baru kita yang datang dari pelbagai latar belakang, dari pelbagai negeri, dan pelbagai ragam. Biar apa jua yang disaksikan, andai itu kejahilan yang nyata, maka sebagai manusia yang berfikir dan mempunyai fikrah Islam yang jelas, menjadi tanggungjawab kita untuk membencinya.

Walaupun hakikatnya perasaan benci itu lebih meluap - luap terhadap si pelaku, namun harus diingat manusia itu tidak pernah jauh dari melakukan kesilapan. Dalam melihat dan menyaksikan kejahilan orang lain sambil membenci - benci dalam hati, tanyalah kepada diri sendiri, apakah ada jaminan buat diri sendiri untuk terlepas dari kesalahan dan perlakuan yang jahil ? Apa perasaan anda kalau anda menyedari ada manusia yang membenci diri anda dek kerana kejahilan yang anda lakukan? Andai kata anda manusia yang berfikir, sudah pasti anda akan bergerak untuk mengubah diri, mencari solusi. Namun andai tidak, sudah pasti anda, manusia yang dibenci kerana melakukan kejahilan itu akan terus melakukan berulang kali kerana merasakan dirinya teruk, sudah tidak mampu berubah, atau mungkin rasa terhina kerana dipandang rendah serta dibenci dek perlakuan jahilnya.

Hakikatnya, membenci si pelaku yang melakukan kejahilan itu bukanlah penyelesaiannya, malah membenci kejahilan yang dilakukan manusia tanpa melakukan apa - apa langkah pencegahan juga bukanlah penemu kepada jalan penyelesaian.

Allah menyeru kepada manusia,
Dan hendaklah ada dalam kalangan kamu, menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah kepada yang mungkar, merekalah orang2 yang beruntung.

(maaf saya tak ingat surah apa dan ayat berapa. huhu)


Teringat lagi saya pada satu hadis yang biasa dipelajari semasa sekolah dulu,

"Sesiapa yang melihat kemungkaran, maka cegahlah ia dengan tangannya, jika tidak mampu cegahlah dengan lidahnya , dan andai tidak juga mampu maka cegahlah dengan hati, dan itulah selemah - lemah iman. "

Baris terakhir iaitu "cegahlah dengan hati" cukup untuk menyampaikan kepada manusia bahawa membenci dalam hati akan kemungkaran yang dilakukan juga salah satu cara mencegah kemungkaran, walaupun selemah lemah iman.

Maka andai anda tak mampu mengubah dengan tangan, mahupun lidah, biarlah hati anda tetap membenci kemungkaran itu, tetapi harus diingat, bukan membenci manusia yang melakukan kemungkaran.

Ini peringatan buat saya yang kadang - kadang lupa dan terlampau mengikut perasaan. Semoga saya tidak mebenci manusia, tetapi biarlah saya membenci perlakuan jahil yang dizahirkan manusia.

"Ya Allah, ampunkanlah dosa - dosa dan keterlanjuranku, serta manusia - manusia sekelilingku. Limpahkanlah hidayah dalam hati - hati kami, kuatkanlah iman kami, tingkatkanlah ketakwaan kami. Aminnn." :)

p/s : semoga manusia bernama Nur Izzati Khairuddin ini kuat dan cekal menghadapi rintangan dan cabaran, juga menatap perkara - perkara yang cukup pedih untuk diterima jauh di sudut hati. doakan saya. :)

*maaf, andai ayat tak cantik macam dahulu. terasa semakin tumpul 'skill' menulis. :]

Wednesday, August 17, 2011

Entry Ramadhan? - Masih belum terlambat mungkin.

Entry Ramadhan. Moga masih belum terlambat.

17 Ramadhan. Cepat benar bertambah angkanya. Rasanya baru sahaja melaung laungkan lagu Harapan Ramadhan seorang diri di A207(1). Semoga 17 Ramadhan bukan nampak besar hanya pada angka 17, tetapi besar pada penghayatannya, besar juga pada hatinya, untuk terus melaluinya dengan penuh keimanan dan takwa.

Ini post pertama untuk Ramadhan 2011. Saya kurang masa untuk menelaah blog sahabat - sahabat, apatah lagi meng'update' blog sendiri. Bukan kisah pada masa sangat sebenarnya, cuma di A207(1), berada di tingkat 2, 'kekuatan' wifi connection sangat lemah. :D Perlu rajin untuk turun ke bawah, baru dapat menikmati wifi connection.

Hampir dua bulan sudah di Kuantan. Bandar Kuantan yang luas, sibuk, kereta laju-laju, dan semestinya menyeronokkan. ALhamdulillah, kolej saya memang terlalu dekat dengan bandar, setiap hari dengar kereta, motor, lori lalu lalang. Tak rasa macam duduk di kampus sangat pun sebenarnya. Rasa macam duduk di rumah. Maka, homesicknya juga tidak ketara, alhamdulillah.

Ingin sekali bercerita tentang UiTM Kampus Kuantan untuk entry kali ini. Mari kita mulakan, ehem3 (membetulkan tekak. hehe)

Di Pahang, ada dua kampus UiTM. Kampus pertama, di Jengka. (yang ni 'terperosok' sikit. hehe. :p) Seterusnya, kampus Kuantan. Di Jengka, menempatkan pelajar diploma dan degree. Kuantan pula untuk pelajar Asasi Undang - undang dan Asasi Tesl. Dengar katanya, di Raub, ada satu lagi kampus bakal didirikan. Tak pasti pula untuk menempatkan pelajar dalam bidang apa di sana. Kita tunggu sehingga siap lah ya? :D Kampus Kuantan ada dua. Uitm Kampus Kuantan 1(Bukit Sekilau), dan UiTM Kampus Kuantan 2(Pdg Lalang). Saya tinggal di Kampus 1. Senior part 3 Law tinggal di Kampus Kuantan2, pelajar lelaki part 1 Law di Indera Mahkota 5 (jauhhhh dari Sekilau / Padang Lalang. Kesian depa ) Kalau kelas atau lecture bagi pelajar Asasi Undang-undang, antara dua, sama ada di Kampus 1 atau Kampus 2. Kalu orang yang duduk di Kampus Kuantan 1 nak pergi kelas dekat Kampus Kuantan 2 macam mana? Bas Uitm kan ada, tak pernah berhenti bergerak dari pukul 7 pagi sampai 11 malam.

Masalah yang dihadapi di Kampus Kuantan ni ialah kekurangan Rooms, jadi terpaksa lah diadakan kelas malam. Kelas saya antara yang 'teraniaya'. Tiap - tiap malam ada kelas wehh. Kalau lecture sampai pukul 10++ lebih kurang. Ada juga kelas sampai pukul 11 malam. Nasib badan~~ ==, Tapi sedikit kelebihan, kelas saya selalunya mula lebih lewat. Paling awal pukul 10. Semoga Allah permudah segala urusan. Aminn. :)

Tinggal di sini banyak mengajar saya untuk lebih bersyukur. Banyak kemudahan. Nak apa, semua ada, Semua boleh dapat dengan mudah. Asalkan rajin sikit usaha. Mall depan tu saja hah. Asalkan rajin berjalan. Kalau malas berjalan, naik teksi, cuma sediakan duit tambang. Nak beli barang pun senang. Tapi perlu kawal dengan iman, kalau tak, belum cukup sebulan, duit elaun pun kering. =='' Makan pula tak payah lah nak hebat-hebat sangat (kfc, mcd, pizza, kenny rogers, n etc yang mahal - mahal) walaupun senang je nak dapat, kedai makan kat depan kampus ni pun dah banyak sangat dah. :]


Tinggal di sini juga sudah pasti mengajar saya untuk sangat - sangat berdikari. BERDIKARI yang saya maksudkan ialah BERDIKARI untuk hati, BERDIKARI untuk mempertahankan nilai dan prinsip diri, BERDIKARI untuk memelihara nilai Islam, BERDIKARI untuk menegaskan bahawa saya Islam bukan hanya pada nama dan status, BERDIKARI untuk mengajak orang lain untuk turut sama menjadi ISLAM YANG SEBENAR. Secara jujur dan telusnya, jauh di dasar hati, perasaan cemburu terlalu menebal terhadap sahabat yang berpeluang untuk merasai sekali lagi bi'ah Islam walaupun selepas keluar dari sekolah. Mereka punya teman untuk solat jemaah, sentiasa mengingatkan mereka, mereka punya teman yang masih mahu mempertahankan nilai dan prinsip diri. Mereka masih ada semua itu. Masyaallah, beruntunglah kalian ! Biar saya anggap ini cabaran penguat diri. Biar saya anggap ini cubaan Allah yang ingin menaikkan tingkatkan iman saya, menebalkan ketakwaan saya, di saat insan sekeliling semakin nipis kualti diri, hanya hebat di medan perdebatan.

Kalau anda hadapi situasi ini, apa anda akan rasa,

  • "kau nak pergi terawih? kalau pergi terawih, kau balik lewat nanti, assignments kau bila nak siap?"
bagaimana pula kalau,

Tengah layan assignment dengan B.

A : weh, bila nak start tadarus? setiap rumah dah ditetapkan surah dan ayat untuk tadarus bulan puasa ni.

Saya : Oh ya, aku baru teringat. Tunggu. Nanti aku datang.

B : Kau ni tak fokus lah. Tengah buat assignment pun sempat lagi layan benda lain. Bila assignment kau nak siap?

Dalam hati : Aku punya dah nak siap. Kau je yang baru nak start.


Hah. Ambik. Dulu dan sekarang, saya melalui kehidupan yang berbeza. Kalau sebelum ni, saya sentiasa disuruh buat baik, dipesan itu ini, diperingatkan yang mana baik yang mana buruk. Sekarang pula, seakan sentiasa ada yang ingin 'mencela' perbuatan baik yang dilakukan, ada yang berani untuk berkata JANGAN, ADA YANG LEBIH PENTING DARIPADA ITU.

Kesian mereka. Semoga Allah mencampakkan hidayah ke dalam hati - hati mereka.

Saya mengejar kedewasaan. Semoga saya tahu membezakan antara yang harus saya patuh, dan yang harus saya hindari. Semoga hati ini istiqamah. :)

p/s : InsyaAllah minggu depan berpuasa dengan family pula. Lebih kurang seminggu saja lagi sebelum tarikh pulang. Semoga Allah izinkan. :)

Friday, July 15, 2011

Aku yang Aku

Biar aku menjadi aku
Yang pernah menatang prinsip tanpa ragu

Biar aku menjadi aku
Yang sentiasa ingin teguh walau dibelenggu

Biar aku menjadi aku
Tak pernah rapuh dengan siapa jua kamu

Biar aku menjadi aku
Aku yang aku
Aku yang sentiasa aku
Aku yang setia menghambakan diri buatMu



~ Sekilau, A207(1), 1.48 AM, 15/7/2011 :) ~
~ nik_kay93 ~

Sunday, July 3, 2011

Saya Perlu Bersyukur.

Semakin jauh merantau, semakin banyak pemandangan, semakin bertambah pengetahuan, semakin bercambah - cambah pengalaman.


Alhamdulillah, Allah memberi peluang kepada saya untuk berjauhan dari tempat asal kelahiran, tempat dibesarkan. 17 tahun beradu kasih dengan mak abah dan keluarga, tanpa keluar ke mana-mana. Akhirnya, apabila Allah kata sudah tiba masanya, maka inilah masanya.

Mula - mula ke Seremban. Sempat berada di sana lebih kurang tiga minggu. Rasa 'berat' di sana. R asa keseorangan. Yang menemani diri hanya ayat-ayat Allah yang saya pegang, sejak saya belajar di bangku sekolah. Allah sentiasa ada, saya tak pernah keseorangan. Apabila saya ambil keputusan drastik untuk keluar dari situ, baru saya tahu, ramai yang sayangkan saya, tak relakan pemergian saya.

Adik - adik yang selalu jadi teman saya semasa dalam bilik Masyit, semua tak rela dengan keputusan drastik saya. Ada yang tersandar di dinding, senyap, tak berkata apa apabila mereka lihat saya sedang sibuk kemas barang-barang ke dalam bagasi. Yang paling menyentuh hati, ada yang memeluk erat, sambil menangis, seakan tak mahu lepaskan. Pada saat itu jugalah, ada announcement bahawa mak abah saya sedang menunggu di bawah. Kami perlu bertolak segera, banyak perkara yang perlu diuruskan dalam amasa yang singkat. Pelukan terpaksa dileraikan antara terpaksa dan rela. Sungguh saya tak sangka. Waktu tu baru saya rasa malu dengan Allah, kerana selalu bersangka buruk. Saya rasakan saya seorang diri, tak ada yang mahu berkawan dengan saya. Tiada siapa yang mahu berbaik dengan saya. Ya Allah, ampunilah hamba atas dosa hamba yang keterlaluan bersangka buruk terhadapMu. :(

Pulang dari Seremban ke Kuala Lumpur. Bermalam di rumah Pak Ngah. Rasanya sebulan sebelum tu baru saja ke KL, singgah di rumah Pak Ngah juga, masa itu mahu ke Labu. Hah, kali ni ke KL lagi, transit sebelum ke Pahang. Dalam perjalanan abah berkata, "Labi telah meninggalkan Labu nya"

Tiba di Pahang. Suasana baru. Tanpa peraturan. Mak mezahirkan kebimbangan. Katanya, dah duduk bebas macam ni, pandai-pandai lah jaga diri. Jangan asyik dengan sms, facebook, dan yang seangkatan dengannya. Saya pegang semua pesanan tu. Moga saya istiqamah. :)

Belajar dengan cara yang lebih 'laju'. Kurang 'belas kasihan' dari tenaga pengajar. Biasalah, bukan macam kat sekolah, kalau kat sekolah, tak faham, boleh lah lagi mintak kasih sayang cikgu, "cikgu, boleh tak explain the whole topic. saya tertinggal. saya masuk lewat, tak sempat belajar dari mula, bla bla bla" Everything I do on my own. Oleh sebab datang lewat, ada banyak benda tak settle. Medical check up, stamping, borang permohonan elaun, dan yang seangkatan dengannya. Macam tak percaya juga, saya buat semua tu sendiri sorang-sorang, di bandar besar yang saya tak pernah jejak. Ambil teksi, bayar teksi, semua selesai. Well, everything needs money. If there are money, everything will be settle up. Hoho. Alhamdulillah, Allah mudahkan semuanya. Nasib baik terminal teksi tak jauh dari sini. Call saja, tak sampai 5 minit teksi dah tercegat kat depan tu. :p

Di sini permulaan untuk belajar bagaimana mahu urus diri sendiri ke jalan yang Allah redha. Tak ada cikgu atau ustazah yang tolong aturkan masa untuk baca ma'thurat, tilawah Al-quran, solat, dan sebagainya. Semuanya bergantung pada diri sendiri. Semoga hati saya istiqamah. :)

Hati tak pernah berhenti berdoa, semoga dimudahkan urusan seharian, dijaga iman, dipelihara takwa. Semoga Allah pelihara hubungan saya dengan semua orang di sini.

Tuesday, June 28, 2011

Mengenal Kehidupan dari Kejauhan

Dari kejauhan
Lahirnya lakaran kehidupan
Hakikat hayat diri yang ditempa perubahan

Biar apa pun halangan
Itu yang aku pasakkan
Biarkan ketabahan mengalir mapan
Biarkan kekuatan tidak berkesudahan

Dari kejauhan
Ratapan hati yang tak pernah melupakan
Hakikat diri yang dalam penghayatan

Biar apa jua mereka katakan
Itu yang aku ingin buktikan
Biarkan berdiri tak pernah kejatuhan
Walau kadangkala diulit kesusahan

Wahai manusia - manusia yang aku tinggalkan
Kalian amat menyenangkan
Kalian amat diperlukan
Kalian terlalu jauh dari dakapan

Wahai manusia - manusia yang aku tinggalkan
Walau kalian penuh cacian
Walau kalian merasakan aku dalam kesilapan
Biar aku tentukan langkah kehidupan
Hanya doa kalian yang aku harapkan

Dari kejauhan
Aku memohon perlindungan
Dari Tuhan yang tak pernah jauh dari ingatan
Berilah aku kekuatan
Dalam mengenal kehidupan dari kejauhan


Nur Izzati binti Khairuddin
28 Jun 2011
Bkt Sekilau

Thursday, June 2, 2011

Catatan Labu


Bismillah. Allah itu tidak kejam. Allah itu maha penyanyang, maha pemurah, lagi maha mengasihani. Ujian yang di diletakkan Allah ke atas bahu ini tanda sayangnya Dia pada kita. Ujian itu penguat hati. Ujian itu untuk meningkatkan iman.

Musafir aku kerana tuntutan ilmu. Semoga Allah melindungiku dengan rahmatNya, menghadiahkan kekuatan buat aku, menempuh liku - liku, seorang diri tanpa insan - insan yang aku rindu.

Hari Ketiga
21 Mei 2011

Rindunya aku kepada orang tuaku
Hati menadah resah, suka dan keliru
Menagisi hari ini, kehidupan aku yang membawa diri
Menatap hari semalam, suka duka cinta yang berlalu
Hari ini aku di sini,
seorang diri, tanpa kedua buah hati
Hati ini tidak sepi,
ditemani senior yang menasihati

Mana bisa rasa ini tidak gundah !
Keseorangan di bumi bertuah
Menadah air mata yang tak pernah sudah

Ya Allah, bantulah aku
Yang tidak pernah berhenti menadah meminta !

Ya Allah, kuatkanlah aku
Tingkatkanlah keyakinanku yang rapuh !


Hari keempat
22 Mei 2011, petang

Guruh berdentum - dentum. Kuat. Bibir serta merta tak henti menyebut nama Allah. 'Petit' masih lagi di katil. Rajin dia study.

"Huh? Macam mana nak call mak ni?"

Tudung dicapai, menyelak tirai kuning di pintu bilik Masyit. Guruh berdentum lagi. Kali ini lebih kuat, disusuli kilat.

Bumi Labu basah. Awan menangis, sama seperti kondisi hati. Semalam di - 'brain wash' oleh Kakak R. Alhamdulillah, hati sedang mencuba untuk menerima. :]

"Keliru itu biasa pada peringkat permulaan. Tapi awak kena kuat. Jangan terlalu fikir perkara yang lepas. Awak terus saja pandang ke depan. Kalau awak boleh survive kat sini, nanti awak diletakkan di mana pun, insyaallah awak boleh hidup. Tak lama, setahun setengah je. Buktikan awak mampu. Peduli cakap orang lain. Ini masa depan awak." - Terima kasih Kakak R ! :')


Hari kelima
23 Mei 2011

Orientasi bermula.
Encik Samat memulakan sesi. Kepentingan 'kesatuan' dan hidup 'berjemaah' menjadi bicara Encik Samat pagi itu. Rambut yang kelihatannya sudah memutih di kepala, jelas menggambarkan begitu banyak pengalaman yang telah dilalui beliau, terlebih dahulu menelan asam garam hidup, menghadapi hari - hari sebagai seorang pendidik.

Sempat saya berdiri berkongsi idea, alhamdulillah. :)



Hari keenam
24 Mei 2011

Pelajar junior SMAP buat persembahan pagi ni. Semua orang semangat nak bercuti ! Lagu 'Balik Kampung' dendangan Sudriman menjadi siulan pada pagi itu. Semua nyanyi dengan penuh semangat. 'Balik Kampung' versi SMAP. :)

Menghitung hari ; 4 hari saja lagi.


Hari ketujuh
24 Mei 2011

Dalam misi menghabiskan tugasan mendapatkan butir - butir diri serta yang paling mahal - signature para senior. :) Senior Asy buat saya menangis ! Tolong lah senior. Jangan tanya pasal tu. Itu kisah hidup yang cukup sedih untuk dibicarakan. =='


Hari kelapan
25 Mei 2011

Bersiap sedia utk malam bakat.
Sempat menadah nasihat dan berkongsi cerita dgn Senior Asr. "Kau dah besar, umur 18, ni masanya kau duduk jauh dengan family ! Hal kecik je. Positif lah. Ini cabaran, jangan kau anggap bebanan. Duduk kat sini kau kena kuat. Tak de hal punya laah. Jangan lemah semangat! Peduli apa orang nak kata. Kau pekakkan telinga je. Okay?" Terima kasih sebab bagi semangat, senior ! :)


Hari kesembilan
26 Mei 2011

Majlis penutup orientasi.

Sungguh sangat penat ! Tapi puas. (walaupun ada orang yang tak puas hati dgn saya. huhu)
'Maaf lah. Aku datang sini bukan utk cari masalah dgn org. Kalau kau rasa kau ada masalah dengan aku, cerita saja. Aku boleh perbaiki. Kalau kau diam terus, dalam masa yang sama, kau layan tak leyan je aku ni, aku pun tak faham apa masalah kau tak puas hati dengan aku.' ==

Berkemas. Balik kampung ! Lagi dua minggu, datang semula ! Dengan semangat baru, insyaallah ! :)


-- Kehidupan ini dinamik. Bukannya statik. Semoga kehidupan yang dilalui ini, walau dirasakan payah, walau dirasakan susah, berliku, dan terlalu banyak cabaran serta ujiannya, biarlah kita masih pada landasan yang satu, keredhaan Allah yang dituju. --

p/s : semoga Allah terus mengalirkan kekuatan buat hati ini.