Monday, January 9, 2012

Kempen Jom Cover Aurat UiTM Kuantan : Biar Siapa Kita, Perintah Allah Itu yang Utama

Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha penyayang, dengan keizinan dariNya, maka Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah menghadiahkan kesempatan untuk saya memulakan lakaran perkongsian. Perkongsian yang dalam kesederhanaan, saya dengan kerendahan hati, memohon tunjuk ajar mahupun teguran kalian jika ada yang tersalah dalam perkongsian ini.

Ini kisah yang mungkin biasa didengari. Tetapi ini kisah saya, yang ditakdirkan untuk saya mengalaminya. Hanya kisah enteng, namun cukup beerti jika diteliti dengan mata hati.

Saya punya seorang teman. Saya tahu dia kepingin untuk berubah. Pemakaian hijabnya kadangkala ada dan kadangkala dibiarkan saja rambutnya yang cantik untuk diperlihatkan. Malah katanya, dia lebih suka pakai tudung jika ke kelas, tapi tudung bukanlah pilihannya apabila berada di luar kelas mahupun kuliah. Saya tahu dia tanggungjawab saya, yang Allah takdirkan untuk saya, agar saya bisa memberikan tunjuk ajar walau tidak banyak, namun setidaknya secebis ingatan buat dirinya. Ya, saya sahut perintah Allah itu. Namun, untuk merubah dirinya bukanlah di tangan saya. Tugas saya hanya menyampaikan dan berkongsi, namun keinginan untuk berubah itu seharusnya bakal tiba jika Allah izinkan, dan jika Allah takdirkan dia benar-benar ingin berubah, menjadi seorang muslimah yang benar-benar berada di landasan syariat menutup aurat, maka mungkin saya antara orang yang gembira. Namun itu semua kuasaNya. Saya hanya mempu berusaha semampu saya, selebihnya semoga Allah memberikan keizinan.

Pada suatu hari, ketika berjalan- jalan dengan teman saya ini, dia memulakan perbualan, “Aku tak nampak kau macam budak Law, kau nampak macam budak medic!” Mulut saya ternganga, “Oh, tolonglah! Jadi seorang doctor adalah sesuatu yang mustahil bagi aku, kerana aku tak pernah berminat, dan buktinya sekarang aku bukan pelajar medic”, kata saya sambil ketawa. “Tak, sungguh! Kau tak nampak macam budak Law. Ya lahh, sikit sangat orang kat sini pakai macam kau. Kau dah nampak macam budak medic belajar dekat Mesir.” Sekali lagi saya ketawa, “Memang aku pernah bercita-cita belajar di timur tengah, masalahnya sekarang ni ke Pantai Timur Semenanjung Malaysia pulak aku sampai.” Tawa kami berderai.

Dari perbualan yang berlaku antara kami, pemikiran saya terus berjalan, memikirkan, meneroka maknanya, dan membuat kesimpulan.

Saya katakan pada diri, saya ialah seorang Muslimah. Agama dan cara hidup saya ialah Islam, maka tuhan saya ialah Allah. Akan lahirkah saya kalau bukan Allah yang menjadikan saya dari setitik air mani yang hina itu? Akan lahirkah saya andai saya bukanlah antara sperma yang paling tabah menyusuri kesukaran untuk sampai ke garisan penamat untuk bertemu dengan ovum yang bakal mensenyawakan nukleus sperma ini menjadi seketul darah? Akan lahirkah saya di dunia ini andai seketul darah ini tidak membentuk seketul daging, lalu terbentuk pula tulang yang dibaluti daging, dan akhirnya membentuk seorang bayi? Akan lahirkah saya andaikata Allah takdirkan ibu saya tidak benar-benar kuat untuk mengerah tenaganya melahirkan saya. Tidak! Saya tidak akan ada sekarang menulis di blog ini andai bukan dengan izin Allah. Masyaallah! Besarnya Allah, siapa lah saya kalau bukan dengan kebesaran Allah. Maka dengan kelahiran saya di dunia ini, dan pemberian Allah iaitu tubuh badan yang lengkap, tiada cacat celanya, serta pelbagai nikmat lagi yang saya perolehi dariNya, layakkah saya untuk menderhaka kepadaNya? Saya adalah seorang hamba yang bongkak dan tak sedar diuntung andai saya tidak bersyukur dengan apa yang Allah telah kurniakan kepada saya ini, nauzubillah min zaalik.

Maka bagaimana saya boleh menunjukkan rasa syukur itu kepada Allah yang sungguh besar jasanya kepada saya itu? Tidak lain dan tidak bukan, tentulah dengan cara saya mentaati perintah Allah, dan meninggalkan laranganNya.

Allah perintah kepada saya, tutup aurat, maka saya perlu tutup aurat. Allah perintahkan kepada saya untuk melabuhkan tudung hingga ke dada, maka saya perlu melabuhkan tudung saya hingga ke dada. Allah perintah kepada saya agar menjaga tingkah laku dan akhlak saya sebagi seorang wanita muslimah, maka saya perlu patuhinya. Itu signifikannya. Saya tutup aurat kerana saya ialah hamba Allah yang mana saya wajib mematuhi segala suruhannya untuk menunjukkan bahawa saya seorang hamba yang bersyukur.

Allah melarang saya membuka aurat di depan lelaki ajnabi, maka saya tidak membuka aurat di depan lelaki ajnabi. Allah melarang saya berlebihan-lebihan dalam berpakaian semasa di luar rumah, maka saya perlu meninggalkannya. Juga lain-lain perkara yang Allah larang saya daripada melakukannya, maka WAJIB bagi saya meninggalkan larangan - larang tersebut.

Oleh itu, siapa juga saya, di mana juga saya, saya tetap seorang WANITA yang beragama ISLAM. Maka tidak seharusnya timbul bahawa jika saya memakai menutup aurat begini, maka saya selayaknya digolongkan dalam golongan pelajar sekian sekian, dan bukan dalam golongan pelajar yang sekian sekian. Pakaian menutup aurat, bertudung labuh melepasi dada, berbaju labuh menutupi punggung, berseluar longgar, dan berstokin, adakah itu pakaian orang-orang tertentu sahaja? Adakah yang selayak memakai pakaian begini ialah golongan pelajar yang menuntut jurusan agama, atau pelajar yang menuntut jurusan perubatan di Timur Tengah sahaja? Tidak! Adakah golongan pelajar yang menuntut jurusan Undang-undang, Kejururawatan, Ekonomi, dan sebagainya tidak layak untuk memakai pakaian sebegini. Tidak! Selagi saya dan anda berdiri di atas muka bumi ini atas nama Islam, maka saya dan anda WAJIB berpakaian begini dan menutup aurat sebagaimana yang disyariatkan.

Wahai sahabatku, sedarlah kamu, Allah tuhanku juga tuhanmu. Taatilah perintah Dia selagi hayatku juga hayatmu. Semoga Dia melimpahkan rahmatNya buat aku dan juga buat kamu. :)

Biar siapa jua kita, perintah Allah itu yang utama.

Semoga bertemu di syurga :)

Oleh : Nur Izzati binti Khairuddin