Friday, March 25, 2011

Tautan Hati : Alhamdulillah~

Salam alaik. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. Semoga kita semua masih merasai kemanisan berjalan di atas landasan iman dan takwa. Semoga hati-hati kita masih teguh di jalan islam, satu-satunya agama yang paling diredhai Allah.

Alhamdulillah. Syukur kerana masih punya kekuatan untuk mencoretkan sesuatu.

Kembali ingin mengenang tarikh 23 Mac. Tarikh yang indah, dipenuhi dengan tawa dan tangis, juga perkara yang tidak disangka-sangka. Syukur kerana berpeluang untuk merasainya.

23 Mac, 8.30 pagi, Surau SMKAP - Majlis Tautan Hati Serikandi

Terima kasih tidak terhingga buat sahabat2 yang mencadangkan majlis tautan hati serikandi. Majlis yang berlangsung sederhana namun cukup bermakna. Dimulakan dengan solat dhuha, kemudian disusuli solat hajat, bacaan yasin dan ma'thurat. Bertujuan agar hati - hati yang resah dan gelisah tenang dengan alunan ayat-ayat suci Allah di bibir. Tenang tatkala melaksanakan solat hajat. Solat hajat terakhir sebelum keputusan SPM dimumkan. Hajat yang dibisikkan pada Allah bukan sekadar hajat untuk memohon keputusan terbaik, namun juga berhajat agar keputusan yang diterima itu ialah keputusan yang dirahmati oleh Allah, mudah-mudahan. Juga memohon dengan bersungguh-sungguh kpd Allah, agar ditenangkan hati dan dicampakkan rasa redha di dalam hati untuk menerima segala ketentuannya. Hati meruntun syahdu saat mengingat kembali hari-hari yang biasa dilalui sepanjang kehidupan. Dalam hati benar-benar memohon agar kesusahan dan keperitan yang dilalui sepanjang hidup, ujian-ujian yang tidak pernah sunyi itu, walaupun tidak dibayar dengan keputusan yang paling diinginkan, cukuplah dan memadailah dengan Allah meredhaiNya. Sungguh, mardhatillah itu mahal !Allah. Allah. Allah. Kesedihan tak dapat dibendung, saat mengalunkan ayat Allah itu teringatkan dosa-dosa semalam yang biasa dilalui, dosa-dosa yang mungkin tanpa disedari, yang mungkin mengundang kemurkaan dan ketidak-redhaan daripada Allah. Masyaallah, takut! Takut andai keredhaan itu tidak sampai. Sungguh rugi manusia yang hidupnya indah kerana nikmat dunia, sementara keredhaan Allah itu jauh darinya. Allah.

Saat ini benar-benar terasa kekuatan persahabatan. MasyaAllah, sungguh hebat. Sahabat-sahabat saya hebat. Mereka mengingatkan saya tentang Allah itu maha adil, mereka mengingatkan saya tentang perlunya keredhaan di hati apabila menerima sesuatu yang telah ditentukan.

Teringat Fathiah memeluk sambil memujuk-mujuk saya, "Jangan risau. Walau apa pun yang terjadi, kita tetap sahabat. Sahabat selamanya" Allah~ Tersentuh. :')


23 Mac, 11.15 pagi, Dewan Azzahra

Ketakutan, kegelisahan yang merajai selama ini bakal termusnah. Saya ingin redha dengan apa sekalipun. Walau keyakinan kadangkala menggugah, namun hati sentiasa mengharap-harap. Siapa yang tidak berharap kan?

Keputusan diterima. Dan sungguh saya tak tahu nak rasa apa pada waktu tu. Di luar jangkaan. Hakikatnya air mata mana pernah mengkhianati saya. Dari dulu lagi. Berkongsi tawa dan sedih. Senyuman dan kemuraman. Semuanya tergabung dalam satu hari. Indah. Walau ada luka yang mengalirkan darah. :)

Terima kasih Farhana dan sisters-nya yang datang peluk saya. Buat saya makin menangis. Huhu. <3

Terima kasih jugak kepada wahida yang pesan, "Allhamdulillah anti bertuah sbb Allah bagi ujian. Ana tau ujian utk anti dari dulu lagi. Allah nak tingkatkan iman anti. Dah, jangan nangis. Nanti nangis masa bawak moto, tak nampak jalan pulak." Sayangnya dekat anda. ;)

23 Mac, 1.58 ptg- Baru sampai Rumah

Ada sms,

"Salam, Nur Izzati. Congratulations on your SPM result released today. Pak Ngah happy to note that you passed all your papers. You have so many course opportunities to choose from. Print out the instruction issued by UPU, analyse and strategise properly what is the course that you are interested in and what is the best way to secure it. You may seek Mak Ngah's advice on the strategy as she has done it succesfullu for Nur Amalina last year. WHATEVER your result please be satisfied with it, think and behave rationally to move forward. SPM is just the beginning of a long journey ahead. Let's be realistic, rational, thanksful to Allah and move ahead with greater determination and confidence. Succes is just a matter of time. Pak Ngah will reward you for your result. The time will come. Thanks. Salam."
[p/s :Nur Amalina tu cousin saya.]

Siapa tak kenal pak ngah. Tulisannya sms nya selalu panjang berjela. Rasa macam beliau bercakap di depan mata. :) Terima kasih buat ayah2 dan ibu2 saudara, yang sangat mengambil berat. Dari saya kecil, sehinggalah sekarang saya sudah belasan tahun, sentiasa melaungkan semangat dan kata2 perangsang. Terima kasih banyak2. Seringkali terinspirasi dengan sifat kalian. Moga Allah mengeratkan lagi hubungan silaturrahim antara kita.

23 Mac, 4.12 ptg-Rumah,

Sms dari Abg Lat,

"Well done and congratulation. Don't be too hard on yourself. The result isn't bad. There is a lot of varsities willing to offer u a spot for that kind of result, believe me. U'll sure get a special gift from me soon, just wait. Don't forget life & successfullaren't destination, they are journey. Take it as it comes & be grateful of it. Good job Izzati."

*Abg mal wish dekat chatbox fb saja. Anda mmg abg yang cool! [dia tak pandai buat ayat cantik2 sebenarnya. haha.]

Air mata tidak tertahan-tahan. Sungguh, seakan tidak dapat menerima hakikat. Namun saya bertuah. Allah hantarkan saya manusia-manusia yang menguatkan di saat saya tergugat dengan kekecewaan dan kesedihan. Allah. Sungguh Kau maha adil terhadap hamba-hambaMu.

Jam demi jam yang dilalui selepas itu memang perit. Sedih. Tapi syukur, semua orang seakan mahu hentikan tangisan saya. Teringat lagi pesan pak ngah, "frustration is the enemy of the past that should not be entertained..."

Tiada kata lagi yang mampu melambangkan perasaan hati. Terasa bertuah. Allah masih sayangkan saya. Diberinya sesuatu yang menyakitkan, namun di sebalik kesakitan itu diselitkan dengan kemanisan. MasyaAllah. Malunya dengan Allah. Manusia tak henti-henti lakukan dosa. Manusia masih tak tahu nak ucapkan syukur. Namun begitu, Allah masih beri yang terbaik untuk hambaNya.

Akhir kata,

Anugerah yang terindah apabila saya dikurniakan keluarga yang menyokong, sahabat-sahabat yang menguatkan dan manusia sekeliling yang cukup menenangkan. Walau ada suara-suara sumbang, kekuatan sokongan kalian berjaya membumikan suara-suara itu. Syukur ya Allah. Terima kasih semua. :')


Semoga diri ini tergolong dalam golongan hamba-hamba yang bersyukur. Amin. :)

Sunday, March 20, 2011

Cinta Yang Hakiki

Cinta yang hakiki
Andai benar itu yang kau cari
Biarlah hati ini setia mengabdi
Kepada Tuhan pencipta diri
Kerana hanya itu yang abadi

Cinta yang hakiki
Benar itu yang kau nanti
Sakit pedih onak diharungi
Menadah dugaan melawan benteng keimanan diri
Yang telah sekian lama teguh berdiri

Ah, cinta yang hakiki?
Benarkah itu yang kau cari?
Katamu, "aku gelisah!"
Katamu, "aku lelah!"
Ah, apa ini cinta hakiki?

Cinta yang hakiki
Benar itu yang membuat kau untuk mencari
Tidak pernah tersasar dari jeladeri hati

Cinta yang hakiki
Tabahlah hati jalani hidup ini
Kuatlah kaki memijak duri
Oh cinta yang hakiki
Cinta Tuhanku kekal abadi!


Nur Izzati Khairuddin
21/3/2011
00.07 am
:)


Salam buat seluruh penghuni maya. Semoga masih 'hidup' untuk terus mengalirkan tinta bermakna, buat membangunkan jiwa - jiwa yang lena. Maha Suci Allah yang masih memberikan kekuatan untuk mencurah bait - bait indah, semoga dirahmatiNya.

Tiada apa-apa yang mahu diungkap. Hanya meninggalkan kalian dengan puisi tidak seberapa. Mahu lebih asah skill menulis puisi yang terasa sedikit tumpul. Moga Allah mudahkan, insyaallah. :)

Biarlah cinta itu kekal buat Allah, rabb seluruh alam, yang menciptakan dan menjadikan makhluk-makhluk dalam pelbagai rupa dan bentuk. Maka sesungguhnya tiada yang layak untuk dicintai dengan sebenar-benar cinta. Semoga cinta kepada Allah itu melebihi segala-galanya.










Monday, March 14, 2011

Kembali Untuk Menyeri

Kembali untuk menyeri
Setelah dua purnama menyepi
Diamnya aku bukan sebarang pergi
Sekadar pergi untuk mencari
Mencari untuk memberi
Bukan untuk menyendiri dan menyepi

Kembali untuk menyeri
Setelah dua purnama menyepi
Rindunya aku pada bicara hati
Bukan sekadar suntikan buat diri
Malah untuk yang cinta pada Ilahi

Kembali untuk menyeri
Setelah dua purnama menyepi
Beribu onak aku tempuhi
Menguji keimanan yang selama ini terabdi
Menggugat keampuhan prinsip diri

Kembali untuk menyeri
Setelah dua purnama menyepi
Buat sahabat-sahabat yang merindui
Terima kasih kerana mengingatkan diri ini
Kalian sumber inspirasi
Semoga berkekalan ke syurga Ilahi.


Nur Izzati Khairuddin,
15/3/2011
11:11 PM
:)



Salam buat seluruh penghuni maya. Semoga sentiasa dalam naungan Allah S.WT. Teringatkan entry tahun lepas, tajuknya "Setelah Lima Purnama". Entry ini pula mungkin sesuai diletakkan tajuknya, "Setelah Dua Purnama" kerana telah dua bulan tidak mencoretkan apa-apa di blog. Hee. Maaf kepada yang selalu bertanya. Sengaja menyepi daripada menari - narikan jemari melakarkan sesuatu di sini. Impian di hati mahu kembali dengan kekuatan yang lebih ketika menulis. Namun rasanya, semakin dibiar lama, semakin tumpul bisa penulisan. Maka, biarlah kekuatan yang sebenar itu belum tiba, niat di hati, teruskanlah sahaja apa yang termampu.

Semoga ini permulaan kepada sebuah perjalanan yang lebih baik. Buat sahabat2 yang merindui Hakikat Hayat, janji saya, saya akan terus menulis. Menulis dan menulis. Terima kasih kerana mengingatkan. Sayang kalian! :)

Ya Allah, aku memohon rahmat dan redhaMu. Kekalkanlah kesetiaan aku untuk terus berdiri di jalan yang Kau redhai.