Wednesday, February 17, 2010

Bersyukur

Tiba masanya juga rupanya.
Tiba masa apa? Tiba masa yang saya telah jangkakan sebelum ini. Dihentam dek sesuatu ke atas badan saya. Kenyataan saya di facebook sebelum ini.

" Saya tak kisah dengan lidahnya yang tajam. Jika disembur, saya akan dengar, dengar, dan dengar. Paling tidak, rasa sebak saja. Kemudian, balik, dan usaha untuk tidak melakukan perkara yang sama lagi supaya tidak lagi dicucuk lidah yang tajam. Tetapi, saya harap lengan saya tidak dihinggap buku atau apa - apa saja, serta kepala saya tidak ditolak - tolak. (antara perkara yang saya takut)==Saya bersedia untuk esok= "

Hakikatnya, tiada apa yang tidak baik berlaku berkaitan apa yang saya risaukan buat masa sekarang. Hari pertama, selamat. Alhamdulillah kerana Allah mempermudahkan segalanya. Hari kedua @ terakhir menyaksikan perkara yang saya takutkan berlaku.


" Tetapi, saya harap lengan saya tidak dihinggap buku atau apa - apa saja, serta kepala saya tidak ditolak - tolak. (antara perkara yang saya takut) "
Bukan lengan yang dihinggap. Buku buku yang dijadikan alat. Bukan kepala dijadikan sasaran. Tetapi belakang saya. Secara jujurnya saya bersyukur kerana berkesempatan terkena hukuman yang selama ini saya takutkan. Alhamdulillah. Sekurang - kurangnya terkesan juga untuk lebih mengambil berat tentang diri sendiri. Terima kasih kerana meninggalkan kesan itu di bahagian belakang badan saya. Bukanlah kesan apa pun. Cuma sehingga sekarang masih terasa bekasnya.

Bersyukur.
Bersyukur kerana saya tahu apa salah saya. Bersyukur kerana hukuman itu menyedarkan saya dari kelalaian. Bersyukur kerana saya sudah tahu bahawa setiap perkara harus diteliti dengan sebenar - benar penelitian. Bersyukur kerana ada insan yang mengambil berat tentang saya. Terima kasih.

Kuat.
Semoga saya terus kuat menadah segala amanah. Semoga saya terus kuat menimba ilmu sebanyak - banyaknya. Semoga saya kuat menatang dugaan. Hakikat hayat seorang mukmin itu bukanlah mudah berputus asa. Oleh sebab itulah saya mesti kuat.!

Sunday, February 7, 2010

Kelabu.

Bermula dengan ingatan saya kepadanya. Ah, apakah yang ada dalam hati ini? Sesuatu yang sukar diungkap. Dan saya mencari - cari dia. Kelabu. Dan tidak jelas. Mana dia? Mana kamu? Saya menanti kamu untuk muncul? Izzati, jangan berharap. Kamu belum cukup baik bagi yang terbaik. Ya, saya belum mencapai ke tahap yang cukup baik bagi insan -insan yang hebat di sekeliling saya. Sekarang bukan saya fikirkan tentang ramainya insan sekeliling saya yang hebat - hebat belaka. Tetapi, kamu. Kamu. Dan, kamu. Ya Allah. Sesungguhnya engkau sahaja yang mengetahui dan memahami detik hati ini. Dari mula pencarian saya. Allah, bantulah saya. Agar saya tidak tersesat dek perasaan yang membutakan ini. Butakah? Ya. Buta jika tidak dipertimbangkan dengan jelas. Mengapa perlu saya berperang dengan rasa hati ini setelah sekian lama hati ini menyepi untuk merasai perkara yang bukan sepatutnya. Oh, hakikat. Hakikat bagi seorang manusia yang serba lemah ini.

Kenapa?

Kenapa dia? Entah. Terpampang jelas apa yang dia rasa ketika ini. Katanya, "saya sedang mencari semula sinar iman yang dirasakan semakin tandus sepanjang perjalanan saya di luar." Tahulah kamu, saya juga sama. Dan kamu. Saya tidak tahu apa yang harus diungkap tentang kamu.

Allah, tuhanku. Bantulah aku mencari sinar sebenar. Yang bakal membahagiakan hayatku. Saya dan kamu. Hanya ini sahaja yang menyatukan hati - hati kita, untuk terus di jalan hakiki. Dan kamu. Saya mengharapkan sesuatu pada suatu hari yang belum pasti. Mungkin
.

Wednesday, February 3, 2010

Saya dan saya

Dengan penuh rasa lemah dan kurang bermaya, saya mengaku siapalah saya ini ingin mendabik dada, bermegah - megah. Siapalah saya ini jika dibandingkan dengan insan lain, yang jauh lebih hebat daripada saya. Dalam satu hari, saya gunakan segala perkara yang berlaku sebagai kayu penanda untuk merefleksi diri, melakukan koreksi sana - sini. Saya sedar dan seolah - olah baru tersedar. Siapalah saya ini. Siapalah saya di sisi Allah Taala. Yang setia mengalirkan nikmat buat seluruh penghuni bumi. Nikmat. Perkara yang selalu dipandang enteng dan manusia mudah benar lupa akan pemberinya.
Setelah lama tak diserang gatal - gatal hidung dan selsema yang teruk (akibat salah makan), maka hari ini nikmat sihat itu ditarik buat seketika, menyedarkan saya. Apa yang saya lakukan di waktu sihat? Saya benar - benar tidak menggunakannya ke arah yang sepatutnya. Ah, sekali lagi. Kenapa sesudah ditimpa susah baru ingin tersedar? Manusia. Mudah sungguh lupa.
Prestasi. Prestasi saya benar- benar merosot minggu ini. Tiada siapa yang mengadili, tiada siapa yang berkomentar mengenai saya, tiada siapa yang datang memberitahu saya. Tapi, saya tahu diri saya. Prestasi saya benar - benar merosot minggu ini. Ah, sudah. Bangunlah. Cukuplah tersungkur sekali, jangan diulang lagi.