Monday, December 21, 2009

Apabila Masih di Bawah Sedar

Kesedaran. Satu perkataan yang cukup penting bagi mengeluarkan seseorang dari belenggu kejahilan. Saya begitu sensitif dengan perkataan ini sejak akhir - akhir ini. Tuisyen sudah selesai. Tinggal untuk meyiapkan homeworks yang masih bersisa (agak banyak juga). Saya bersyukur kerana Allah membukakan hati saya untuk menghadirkan diri ke tuisyen intensif tahun ini. Nasib baik juga dikurniakan kerajinan untuk melangkah keluar rumah sejak pagi lagi, kemudian selesai tuisyen, berjalan pula ke library, menghabiskan petang di sana. Setiap langkah saya, ke mana sahaja, ada hikmah dan perkara yang ingin Allah tunjukkan. Saya berjumpa dengan pelbagai jenis ragam manusia. Apa yang ingin saya katakan ialah apabila mereka masih di bawah sedar. Muslimah. Mereka masih belum sedar bahawa mereka ialah muslimah. Jika di sekolah, perkara ini tak jemu - jemu ditekankan. Apabila mata saya tertancap pada sebatang tubuh yang saya sifatkan tidak lengkap berpakaian. Apa nama bajunya saya pun tidak tahu, kerana saya tidak pernah memakai atau mempunyai baju serupa itu. Kemudian, seluarnya seperti biasa, agak melekat di kulit, menampakkan batang kaki. Tudungnya pula, sudahlah jarang, diangkat singkat berada di atas dada. Ah, sakit mata!
Rasullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya termasuk ahli neraka iaitu perempuan - perempuan berpakaian tetapi telanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk berbuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.
Perihal tuntutan ke atas seorang muslimah menjaga kehormatan telah dijelaskan oleh Allah dengan panjang lebar melalui surah An Nur, ayat 31. Tapi, hanya sedikit sahaja yang saya ambil daripada ayat tersebut.
"............ Dan hendaklah mereka menutup kain kerudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya) ..............."
Rasulullah sebelum wafatnya, terlebih dahulu menyatakan bahawa siapa yang berpegang teguh kepada Al Quran dan sunnahnya, maka tidak ada yang akan sesat. Barangkali mungkin Al - Quran itu sekadar menjadi kewajipan pada pagi hari, beramai - ramai membacanya di dewan sekolah. Kemudian, tutup. Esoknya pula dibuka kembali. Sungguh, lemahnya kita.
Saya lebih mengarahkan apa yang saya luahkan ini buat para penghuni bumi wakaf kesayangan saya. Tidak melekat lagikah didikan agama yang telah ditumpahkan ke atasmu? Atau hanya jasadmu berada di situ, tetapi rohmu sendiri melayang entah ke mana, mencari dunia luar yang penuh dusta, lalu meninggalkan dunia yang sepatutnya kau berada, menadah ilmu? Inilah yang menjadi punca kegagalan dalam memahami, iaitu apabila tiada kesedaran. Bukan seorang, bukan dua orang, bukan juga sepuluh orang, ramai juga. Itu satu. Bab pakaian juga masih belum selesai menyesakkan dada. Timbul pula al-kisah insan yang masih belum sedar dirinya itu sudahlah masih ditanggung oleh ibu bapa, dengan tanpa rasa sedikit risau mahupun bersalah, sesuka hati melebarkan diri sendiri ke alam yang disifatkannya sebagai alam yang indah untuk menuturkan kata - kata cinta buat insan yang bernama lelaki. Aduh, sedarlah diri itu muslimah. Apakah itu riwayat hidup seorang muslimah? Itukah cinta yang sebenarnya? Sanggup menjatuhkan diri, bermegah - megah di saat dirinya di samping lelaki yang belum pasti akan menjadi hak miliknya. Ah, dunia! Bisa saja manusia buta kerananya. Saya saksikan dengan dua mata anugerah Allah ini, tegarnya mereka merendahkan maruah diri, berdua - duaan di taman yang menjadi tempat saya lalu lalang itu. Rasulullah bersabda lagi,
Tidak dibenarkan seorang lelaki duduk berdua - duaan dengan wanita tanpa dihadiri Muhrim.
Cinta. Sayang seribu kali sayang, cinta yang suci itu mereka salah tafsirkan. Berebutlah untuk mencari cinta Allah. Berlumba-lumbalah agar diberi kesempatan untuk merasa kemanisan cinta yang sebenar apabila diri bersandarkan sepenuhnya kepada Allah, mengharap cintanya.
Belum cukup dengan itu, banyak lagi. Perit untuk diceritakan. Cukup aib. Sampai bila lagi agaknya kesedaran itu ingin timbul. Sudah disuap, tidak mahu menelan pula. Siapa yang ingin menelan jika bukan diri sendiri? Itulah realitinya. Semoga Allah masih menjaga diri setiap daripada kita daripada sebarang bencana mahupun kesesatan.
Hidup ini sementara. Belajarlah untuk menjadi hamba yang sebenar-benarnya. Redha Allah adalah segalanya.

0 comments: